PADA 15 Ogos 2011, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) menerima seekor Beruang Madu istimewa bernama Fulung. Dalam bahasa Lundayeh, Fulung bermaksud hutan.
Fulung merupakan seekor beruang yang manja. Di BSBCC, ia sering menjadi perhatian pelancong disebabkan gelagatnya yang comel.
Namun, tidak ramai yang mengetahui kisah sebenar Fulung. Walaupun kelihatan girang, Beruang Madu itu pernah dijadikan haiwan peliharaan oleh penduduk di sebuah kampung di Sabah.
Pemiliknya, Nooh, menjumpai Fulung ketika dia sedang memburu di sebuah hutan terpencil di kawasan Long Pasia, Sipitang.
Ketika Fulung berusia sembilan bulan, pemiliknya menyerahkannya kepada BSBCC agar beruang itu mendapat penjagaan yang sewajarnya.
Meskipun aktif berinteraksi dengan pengunjung, sikap Fulung yang gemarkan perhatian menunjukkan beruang itu mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap manusia.
Kadangkala, Fulung akan duduk seperti manusia. Jika melihat orang lalu-lalang, beruang itu akan melambai-lambai dengan mesra.
Akibat terlalu lama hidup sebagai haiwan peliharaan, Fulung menunjukkan tingkah laku menyerupai manusia.
Tempoh yang panjang dalam jagaan manusia juga telah menyebabkan haiwan itu kehilangan sebahagian naluri semula jadinya sebagai seekor beruang liar.
Terlalu manja untuk dilepaskan
Menurut Pegawai Pendidikan Alam Sekitar BSBCC, Mohd. Haniff Mohd. Busrah, Beruang Madu yang pernah dijadikan haiwan peliharaan berkemungkinan besar tidak mampu hidup berdikari.

Beliau berkata, proses rehabilitasi dan pelepasan semula beruang yang terlalu manja amat sukar memandangkan haiwan itu telah membentuk hubungan emosi dengan manusia.
Sekiranya dilepaskan semula ke habitat asal, beruang berkenaan berisiko kembali ke kawasan penempatan manusia untuk mendapatkan perhatian atau makanan.
Beruang Madu yang dijadikan haiwan peliharaan juga tidak tahu mencari makanan sendiri dan tidak boleh mempertahankan diri sekiranya berhadapan dengan sebarang ancaman.
“Apabila beruang ini sudah terbiasa dengan manusia, usaha untuk menjadikan mereka liar semula sangat mencabar. Ada kalanya kita perlu menerima bahawa mereka tidak boleh dilepaskan dan perlu dijaga sepenuhnya di pusat ini,” katanya.
Menurut Mohd. Haniff, BSBCC kini menempatkan 43 ekor Beruang Madu, manakala dua lagi sedang menjalani proses pelepasliaran secara berperingkat.
Bagi beruang yang berpotensi dilepaskan semula ke habitat asal, proses itu akan dilaksanakan secara perlahan-lahan (soft release) bagi membolehkan haiwan tersebut belajar hidup berdikari secara beransur-ansur.
Mohd. Haniff berkata, proses soft release mungkin mengambil masa yang panjang, iaitu antara tiga hingga empat tahun sebelum beruang itu mampu hidup berdikari.
Selepas dilepaskan, beruang berkenaan akan dipasangkan dengan kolar Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bagi membolehkan lokasi dan corak pergerakannya dipantau oleh penyelidik.
Terancam dan diancam
Dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, populasi Beruang Madu merosot kira-kira 30 peratus. Beruang Madu kini merupakan spesies terancam dan berdepan risiko kepupusan.

Disebabkan aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan, habitat Beruang Madu semakin mengecil sehingga haiwan itu terpaksa melarikan diri ke kawasan ladang dan perumahan untuk mencari makanan.
Selain kehilangan habitat, Beruang Madu turut menjadi sasaran penggemar haiwan eksotik disebabkan saiznya yang kecil dan rupanya yang comel.
Bagi mendapatkan wang segera, ada pihak yang sanggup menjual anak Beruang Madu dengan harga serendah RM300, jauh lebih murah berbanding harga seekor kucing peliharaan.
“Apa yang menyedihkan, kebanyakan Beruang Madu yang ada di sini adalah disebabkan tindakan manusia itu sendiri. Habitat mereka dimusnahkan. Mereka juga diburu dan dijadikan haiwan peliharaan.” katanya.
Model pemuliharaan bersepadu
Menerusi Tabin Sun Bear Project, BSBCC dengan sokongan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) melaksanakan pendekatan pemuliharaan bersepadu di Tabin Wildlife Reserve dan kawasan ladang kelapa sawit di sekitarnya.
Selain menjalankan program rehabilitasi dan pelepasliaran, projek jangka panjang itu turut melaksanakan penyelidikan mengenai ekologi, tingkah laku, keperluan habitat serta interaksi Beruang Madu dengan landskap perladangan.

Mohd. Haniff berkata, tahap kesedaran dalam kalangan pengurusan ladang mengenai kepentingan melindungi Beruang Madu kini semakin meningkat.
Katanya, orang awam dan pekerja ladang juga semakin mengetahui tindakan yang perlu diambil sekiranya menemukan Beruang Madu di kawasan operasi mereka.
“Sekarang kita dapat melihat syarikat-syarikat perladangan semakin terbuka dan sedar mengenai situasi Beruang Madu. Mereka tahu tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan dengan
keadaan seperti ini.
“Kita perlu memahami bahawa Beruang Madu terancam akibat perbuatan manusia. Oleh itu, kita cuba menyampaikan mesej kepada orang awam supaya tidak membeli haiwan ini atau sebarang produk yang diperbuat daripada anggota badannya,” katanya.










