IPOH: Perak Sejahtera 2030 berada di landasan yang kukuh untuk menterjemahkan pertumbuhan ekonomi negeri kepada manfaat yang lebih dirasai rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memasuki tahun keempat pelaksanaannya, pelan pembangunan itu terus menjadi kerangka penting dalam memperkukuh ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, ketika ia dilancarkan pada 15 Jun 2022, negara dan negeri masih berdepan kesan pandemik Covid-19 yang memberi tekanan besar kepada kehidupan rakyat, ekonomi dan kewangan negeri.
“Namun selepas empat tahun, asas negeri telah diperkukuhkan dan hasil pelaksanaannya mula kelihatan,” katanya ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 di sini semalam.
Pembentangan laporan tahun keempat itu membawa tema ‘Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’ sebagai penekanan kepada usaha menilai sejauh mana pelaksanaan pelan pembangunan negeri mula memberi kesan kepada kehidupan rakyat serta membina keyakinan terhadap masa depan Perak.
Saarani berkata, perkembangan itu disokong prestasi ekonomi negeri yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila Perak merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus pada 2025, mengatasi kadar pertumbuhan nasional 5.2 peratus.
Katanya, Perak turut muncul sebagai penyumbang KDNK keenam terbesar negara dengan sumbangan 5.3 peratus, sekali gus menunjukkan negeri ini bukan sahaja berkembang, malah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, momentum itu turut diperkukuh oleh peningkatan pelaburan diluluskan yang diterima negeri daripada RM6.61 bilion pada 2022 kepada RM15.76 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan Perak.
Katanya, keyakinan itu dipacu hala tuju pembangunan yang jelas melalui lima nod pertumbuhan strategik negeri yang menjadi asas kepada penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan rantaian industri dan limpahan ekonomi kepada daerah-daerah di Perak.
“Namun, bagi kerajaan negeri, angka ekonomi dan pelaburan hanya benar-benar bermakna apabila ia diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
“Sebab itu, tumpuan Perak Sejahtera 2030 selepas ini adalah memastikan hasil pembangunan terus dirasai rakyat melalui inisiatif kos sara hidup, keterjaminan makanan, pendidikan, kesihatan, perumahan, TVET, keusahawanan serta peluang pekerjaan,” katanya.
Saarani berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk Kad Perak Sejahtera, Kedai Bergerak dan Pasar Sejahtera Rakyat bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Katanya, kerajaan negeri mahu Perak Sejahtera 2030 bukan hanya menjadi dokumen perancangan tetapi kerangka kerja yang memberikan makna. – UTUSAN










