Nur Izani zahir pengorban ibu di atas kanvas seni

Nur Izani zahir pengorban ibu di atas kanvas seni

Lukisan menjadi platform Nur Izani zahirkan penghargaan kepada ibunya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya seni sering dikaitkan dengan kehidupan manusia berikutan setiap hasil karya bukan sekadar paparan visual malah menjadi medium ekspresi yang membawa makna tersendiri.

Setiap artis pula mempunyai cara yang berbeza dalam menyampaikan mesej dan emosi di sebalik hasil tangan mereka sama ada melalui simbol, warna, bentuk mahupun tema yang dipilih bergantung kepada pengalaman dan pandangan hidup masing-masing.

Ada yang menjadikan alam sebagai simbol kehidupan, tidak kurang juga yang mengangkat isu kemanusiaan sebagai teras utama dalam karya mereka bagi menyampaikan mesej yang lebih mendalam kepada masyarakat.

Bagi pelukis muda, Nur Izani Mokhtar, dia menjadikan ruang seninya sebagai medium untuk merakam kisah ibunya yang sentiasa berkorban demi keluarga dan menyara adik-beradiknya.

Dia berkata, setiap karya seninya menampilkan figura wanita lengkap berkebaya dihiasi bunga-bungaan dan elemen warisan yang membawa makna yang cukup mendalam buatnya.

Pemilihan simbol tersebut bukan dibuat secara kebetulan sebaliknya setiap perincian mempunyai hubungan rapat dengan insan yang menjadi tulang belakang kehidupannya sejak kecil.

“Kalau orang nampak saya banyak menggunakan bunga dalam karya, sebenarnya bunga itu melambangkan ibu saya. Saya mahu orang melihat kelembutan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu melalui simbol itu,” katanya.

Ibu Nadi Setiap Karya

Menurutnya, ibunya yang bekerja sebagai tukang jahit menjadi inspirasi utama dalam hampir setiap karya yang dihasilkannya.

Melihat kesungguhan wanita itu mencari rezeki sambil menguruskan keluarga membuatkan Nur Izani merasakan pengorbanan tersebut wajar diterjemahkan dalam bentuk yang mampu dihargai oleh masyarakat.

“Ibu saya seorang yang sangat kuat. Saya membesar dengan melihat dia bekerja menjahit setiap hari demi keluarga. Jadi, saya mahu hasil seni saya menjadi penghargaan kepada kerja keras yang mungkin orang lain tidak nampak,” ujarnya.

Melihat pengorbanan ibunya sejak kecil menjadikan dia lebih menghargai kekuatan seorang wanita. Baginya, seorang ibu bukan sekadar mengurus keluarga malah tabah memikul pelbagai tanggungjawab demi insan tersayang.

Ia sedikit sebanyak membentuk pandangannya tentang kekuatan seorang wanita. Baginya, seorang ibu sanggup memikul pelbagai tanggungjawab demi keluarga tanpa mengharapkan balasan.

Justeru, setiap karya yang dihasilkannya bukan memaparkan kecantikan wanita sahaja malah membawa mesej tentang ketabahan, kasih sayang dan kekuatan mereka.

Berani Memilih Jalan Berbeza

Minatnya terhadap seni mula berkembang selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dia merasakan seni ialah medium terbaik untuk meluahkan emosi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Keputusan meninggalkan aliran sains untuk memilih bidang seni bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, Nur Izani percaya setiap individu berhak menentukan jalan hidup sendiri berdasarkan minat dan kecenderungan yang dimiliki.

“Dalam keluarga saya sebenarnya tiada siapa yang mempunyai latar belakang seni. Jadi Kakak saya yang banyak memberi semangat dan meyakinkan saya bahawa saya mampu berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Walaupun kakaknya lebih cenderung kepada bidang fesyen dan reka bentuk, sokongan yang diberikan menjadi pembakar semangat untuk Nur Izani terus mencuba.

Hari ini setiap karya seninya jelas membuktikan bahawa keputusan meninggalkan aliran sains merupakan langkah berani yang membuka ruang untuknya meneroka potensi diri dalam bidang kreatif.

Bagi Nur Izani, setiap artis mempunyai identiti tersendiri yang membezakan karya mereka daripada pelukis lain. Jadi, dia memilih kebaya sebagai elemen utama dalam kebanyakan hasil seninya kerana percaya pakaian tradisional itu mempunyai nilai estetika dan makna yang mendalam.

Katanya, kebaya bukan sekadar busana warisan sebaliknya melambangkan keindahan, kelembutan dan kekuatan seorang wanita. Setiap perincian pada busana tersebut menggambarkan keperibadian wanita.

“Kebaya menggambarkan seorang wanita yang yakin, elegan dan mempunyai identiti kuat selain setiap perinciannya menceritakan perjalanan hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN