SETIU: Seorang lelaki warga emas ditahan reman empat hari bermula hari ini selepas disyaki menyebabkan kebakaran sebuah rumah milik isterinya di Kampung Langkap Baru, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, suspek berusia 79 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
“Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki yang menyatakan melihat suspek yang merupakan bapa tirinya bertindak melemparkan sesuatu ke dalam rumahnya melalui tingkap kira-kira pukul 1 pagi tadi. Ia menyebabkan rumah berkenaan terbakar sebelum suspek melarikan diri dari kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Terdahulu media melaporkan seorang warga emas tidak menyangka masalah salah faham dengan suaminya yang berlarutan sejak bulan lalu dikatakan menjadi punca kebakaran rumahnya di Kampung Langkap Baru. – UTUSAN










