HOUSTON: Pertembungan antara Sepanyol dan Portugal pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 espk paling dinanti-nantikan dalam kejohanan apabila menemukan dua kuasa besar Semenanjung Iberia yang memiliki sejarah persaingan panjang serta pemain bertaraf dunia.
Lebih daripada perebutan tiket ke suku akhir, perlawanan itu turut membawa misi peribadi buat Sepanyol yang mahu membalas dendam atas kekalahan kepada Portugal pada final Liga Negara-Negara Eropah tahun lalu.
Portugal pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kempen kali ini dan bertekad mengulangi kejayaan yang pernah mereka kecapi ketika menewaskan La Roja dalam perlawanan penuh dramatik itu.
Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada pertembungan dua generasi yang mewakili masa depan dan legasi bola sepak dunia apabila bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal bakal berdepan ikon Portugal, Cristiano Ronaldo.
Pada usia 18 tahun, Yamal terus membuktikan dirinya antara pemain paling berpengaruh dalam skuad kendalian Luis de la Fuente, manakala Ronaldo yang kini berusia 41 tahun pula dijangka mengharungi kempen Piala Dunia terakhir dalam karier yang sarat dengan kejayaan dan rekod luar biasa.
Perlawanan ini juga dianggap simbolik kerana menemukan pemain yang sedang membina nama dengan pemain yang telah mengukir sejarah sebagai antara figura terhebat dalam dunia bola sepak.
Sepanyol tiba di pusingan kalah mati dengan reputasi yang cukup menggerunkan. Corak permainan pantas, penguasaan bola yang kemas serta disiplin taktikal tinggi menjadikan mereka antara calon utama untuk menjulang trofi dunia di Amerika Utara.
Benteng pertahanan La Roja setakat ini, masih kebal apabila belum melepaskan sebarang gol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini, sekali gus membuktikan keseimbangan yang dimiliki pasukan tersebut di semua bahagian.
Yamal yang menjadi nadi utama jentera serangan Sepanyol berkata, pasukannya sedar cabaran besar yang menanti, namun percaya mereka memiliki kualiti untuk menewaskan mana-mana lawan termasuk Portugal.
“Kami perlu terus meningkatkan tahap permainan kerana Portugal mempunyai ramai pemain berkualiti dan berpengalaman. Mereka mempunyai pemain yang mampu mengubah perlawanan dalam sekelip mata, jadi kami perlu berada pada tahap terbaik sepanjang 90 minit atau lebih. “Namun, kami tidak takut kepada sesiapa. Jika mahu menjadi juara dunia, anda perlu bersedia menewaskan pasukan-pasukan terbaik,” katanya. – AGENSI/UTUSAN
FAKTA MENARIK
Pertembungan ini mencuri perhatian kerana menemukan dua ikon daripada generasi berbeza iaitu Cristiano Ronaldo dan Lamine Yamal.
KESEBELASAN UTAMA
Sepanyol
Formasi: 4-3-3
Ketua jurulatih: Luis de la Fuente
Penjaga gol: Unai Simón
Pertahanan: Pedro Porro, Robin Le Normand, Pau Cubarsí, Marc Cucurella
Tengah: Rodri, Pedri, Fabián Ruiz
Serangan: Lamine Yamal, Álvaro Morata, Nico Williams
PEMAIN TUMPUAN
Lamine Yamal
Bintang muda berusia 18 tahun itu terus menjadi nadi serangan Sepanyol menerusi kepantasan, kreativiti dan keberanian mencipta peluang. Yamal tampil cemerlang sepanjang kejohanan dan dijangka menjadi ancaman utama kepada benteng Portugal.
Portugal
Formasi: 4-3-3
Ketua jurulatih: Roberto Martínez
Penjaga gol: Diogo Costa
Pertahanan: João Neves, Rúben Dias, Gonçalo Inácio, Nuno Mendes
Tengah: Vitinha, Bruno Fernandes, Bernardo Silva
Serangan: Rafael Leão, Cristiano Ronaldo, Francisco Conceição
PEMAIN TUMPUAN
Cristiano Ronaldo
Walaupun sudah berusia 41 tahun, Ronaldo masih menjadi sandaran utama Portugal. Pengalamannya dalam perlawanan besar serta ketajaman di depan gawang mampu menjadi pemisah dalam aksi berintensiti tinggi seperti ini.
REKOD PERTEMUAN
Sepanyol menang: 17
Seri: 17
Portugal menang: 7
Pertemuan terakhir: Portugal 2-2 Sepanyol (Portugal menang menerusi penentuan penalti, Final Liga Negara-Negara UEFA 2025)
RAMALAN
Sepanyol: 55%
Portugal: 45%
PRATONTON PERLAWANAN
Sepanyol turun sebagai pasukan pilihan berdasarkan prestasi semasa yang cukup mengagumkan dan corak permainan berasaskan penguasaan bola serta pergerakan pantas di bahagian sayap menjadikan mereka antara pasukan paling sukar ditewaskan di Piala Dunia 2026.
Portugal pula tidak boleh dipandang ringan meskipun perjalanan mereka ke pusingan 16 terbaik tidak semeyakinkan Sepanyol. Kehadiran pemain tengah bertaraf dunia seperti Vitinha, Bruno Fernandes dan Bernardo Silva memberi keseimbangan kepada pasukan, manakala Nuno Mendes dijangka memainkan peranan penting untuk mengekang ancaman Yamal di sebelah kanan serangan Sepanyol.
Selain pertarungan taktikal antara dua pasukan elit Eropah, tumpuan utama pasti terarah kepada duel simbolik antara Ronaldo dan Yamal. Seorang legenda yang menghampiri penghujung karier, manakala seorang lagi bintang muda yang sedang membina legasinya. – UTUSAN










