Indonesia, Perancis bina dua kapal selam Scorpene dua bulan lebih awal - Utusan Malaysia

Indonesia, Perancis bina dua kapal selam Scorpene dua bulan lebih awal

GAMBAR fail sebuah kapal selam Scorpene. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pembinaan dua kapal selam baharu kelas Scorpene telah bermula di Indonesia, menurut laman berita Interes­ting Engineering kelmarin.

Syarikat pembinaan kapal milik kerajaan, PT PAL, memula­kan projek itu dengan kerjasama syarikat pertahanan Perancis, Naval Group.

Kapal selam kelas Scorpene dilaporkan mempunyai keupa­yaan tidak mampu dikesan oleh radar dan boleh membawa pelbagai jenis persenjataan.

Berkuasa dan mempunyai daya tahan operasi yang tinggi, kapal selam ini dianggap sebagai penanda aras antarabangsa bagi kapal selam konvensional.

Ia berupaya melaksanakan operasi tempur terhadap kapal laut dan kapal selam, selain menjalankan misi risikan serta pengumpulan maklumat.

Projek tersebut kini memasuki fasa pemotongan keluli pada Julai iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan pada September de­pan.

Pengarah Pengeluaran PT PAL Indonesia, Diana Rosa dalam satu kenyataan media berkata, permulaan awal itu berjaya dilaksanakan selepas syarikat itu menyempurnakan fasa kelayakan dengan jayanya.

Proses pengesahan tersebut memperakui bahawa sumber manusia, proses pembuatan, kemudahan pengeluaran dan sistem kawalan kualiti PT PAL mematuhi piawaian antarabangsa bagi pembinaan kapal selam.

“Program ini merupakan pe­laburan jangka panjang untuk meningkatkan kompetensi jurutera Indonesia, memperkukuh industri pertahanan nasional dan membangunkan ekosistem pembuatan berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global,” kata Diana.

Beliau menarik perhatian bahawa kejayaan melepasi fasa kelayakan itu membuktikan keberkesanan program pemindahan teknologi yang sedang berjalan. Ia sekali gus meningkatkan keupayaan jurutera Indonesia dalam menguasai tek­nologi pembuatan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala itu, PT PAL telah menghantar puluhan jurutera ke kemudahan Naval Group di Perancis bagi menjalani latihan intensif dalam bidang kimpalan maju, kejuruteraan struktur, sistem mekanikal dan elektrikal serta jaminan kualiti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN