EAST RUTHERFORD: Penjaga gol Norway, Orjan Nyland menyifatkan kejayaannya menyelamatkan sepakan penalti pada babak pertama menjadi titik tolak kemenangan mengejut 2-1 ke atas Brazil pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Nyland berjaya menafikan sepakan penalti Bruno Guimaraes sebelum Erling Haaland muncul wira apabila meledak dua gol dalam tempoh 11 minit terakhir untuk memastikan Brazil tersingkir daripada saingan.
Gol sagu hati Brazil menerusi sepakan penalti Neymar pada minit ke-100 hadir terlalu lewat untuk mengubah keputusan perlawanan, sekali gus menyaksikan juara dunia lima kali itu gagal mara ke suku akhir.
Menurut Nyland, kejayaan menyelamatkan sepakan penalti pada awal permainan memberi suntikan keyakinan kepada seluruh pasukan untuk terus bertahan sebelum memanfaatkan peluang yang terhidang.
“Apabila anda berjaya menyelamatkan penalti seawal permainan, sudah tentu ia menjadikan tugas lawan lebih sukar untuk menjaringkan gol.
“Ia detik yang cukup bermakna buat saya dan seluruh pasukan kerana kami memperoleh sedikit kelegaan sebelum berjaya menjaringkan gol pada waktu yang tepat,” katanya.
Penjaga gol berusia 35 tahun itu turut berharap kejayaan bersejarah tersebut mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda di Norway untuk mengejar impian dalam sukan bola sepak.
“Kami telah melakar sejarah dan saya berharap kanak-kanak di Norway akan mengingati detik ini apabila mereka bermain bola sepak. Saya mahu mereka percaya bahawa mereka juga mampu berada di tahap ini suatu hari nanti, tanpa mengira dari mana mereka berasal,” katanya.










