SHAH ALAM: Langkah penyanyi, Sufie Rose menerusi pertandingan Big Stage x Rocketfuel terhenti apabila dia diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir dalam konsert kedua yang berlangsung di MBSA, malam tadi.
Pemilik nama lengkap Sufia Arissya Suhaimi itu berada di kedudukan terbawah, dengan markah keseluruhan juri 57.33 peratus sekali gus tersingkir.
Sufie bagaimanapun memaklumkan dia wajar diberi peluang untuk meneruskan saingan kerana telah menunjukkan peningkatan berbanding minggu pertama.
“Saya perlu diberi peluang sebab juri menyatakan persembahan saya pada minggu ini lebih baik dari sebelumnya kerana pemilihan lagu yang lebih sesuai.
“Tapi mungkin kurang keyakinan di atas pentas tadi yang membuatkan saya berada di kedudukan tiga ke bawah dan kemudian tersingkir,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara itu tidak mempunyai sebarang masalah berkenaan komen juri yang padanya membantu peserta.
“Saya terima komen semua juri. Sebab itu perlunya mereka, juri profesional untuk menilai persembahan peserta.
“Kami perlu maklum balas juri profesional untuk menjadi lebih bagus,” kongsinya.
Disoal tentang perancangan selepas ini, Sufie memaklumkan akan terus berkecimpung dalam bidang sama dan menunggu pihak pengurusan iaitu Rocketfuel untuk menyusun jadual.
“Apa pun Saya tak akan berhenti dalam bidang ini kerana ini minat dan hobi saya.
“Apatah lagi berputus asa sebab saya masih dahagakan ilmu dalam bidang ini,” jelasnya.
Pada Konsert yang berlangsung semalam, Hussain telah mendominasi kedudukan teratas dengan markah juri 72 peratus.
Big Stage x Rocketfuel menampilkan Akim Ahmad, Aisha Retno dan Hael Husaini selaku juri manakala Nabil Ahmad dan Azeva sebagai hos. – UTUSAN










