SPRM rampas lebih RM31.4 bilion hasil jenayah  - Utusan Malaysia

SPRM rampas lebih RM31.4 bilion hasil jenayah 

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih RM31.4 billion nilai aset hasil jenayah berjaya dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dalam tempoh lima tahun ini.

Dalam tempoh sama, hampir RM28 bilion harta telah dilucutkan hak hasil operasi besar-besaran dilakukan agensi berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara kes iaitu Op Metal apabila sitaan aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta dilakukan ke atas sindiket penyeludupan besi.

Menurutnya, selain itu, SPRM, juga telah menyita hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber serta aset mewah berjumlah RM32 juta dari kediaman seorang individu bergelar Tan Sri yang melibatkan 217 unit jam tangan dan 27 unit tas tangan berjenama. 

“Tidak ketinggalan, dalam kes penyelewengan dana bina lebuh raya, SPRM telah menyita lebih RM36 juta termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank.

“Kesemua operasi ini bukti jelas bahawa SPRM sentiasa proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyitaan dan pelucutkan hak aset ini merupakan langkah kritikal dalam memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka.

Kata Azam, ini sekali gus sebagai mesej jelas bahawa jenayah tidak akan pernah menguntungkan. 

Katanya, salah satu peranan utama SPRM melalui Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) adalah memulihkan dan melucutkan hak harta tidak alih selain harta alih yang diperoleh hasil daripada aktiviti jenayah.

“Sehingga kini, Bahagian AML SPRM sedang menguruskan sebanyak 41 harta tidak alih yang masih menunggu pelupusan. Angka ini bukan sekadar statistik malah mencerminkan sejauh mana komitmen SPRM dalam memulihkan aset hasil jenayah kepada negara,” ujarnya.

Tambah Azam, usaha ini bukan sahaja mengembalikan hasil kepada negara, tetapi dapat membina semula keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN