KUALA LUMPUR: Semua pihak memberi ruang kepada kerajaan untuk menamatkan penggal penuh demi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Sambil menolak gesaan agar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat mahu kerajaan menumpukan perhatian kepada pentadbiran negara dan bukannya terus terheret dalam kancah politik serta kempen pilihan raya yang berpanjangan.
“Berikan kami masa berdasarkan mandat yang diberikan sehingga pilihan raya tiba. Selepas itu kita boleh bertanding habis-habisan. Saya tiada masalah dengan perkara itu,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya sama ada pilihan raya mengejut wajar dipertimbangkan susulan ketegangan geopolitik serantau dan perkembangan politik domestik semasa.
Penggal Parlimen semasa boleh berlanjutan sehingga Februari 2028 melainkan dibubarkan lebih awal, namun spekulasi mengenai kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal semakin hangat berikutan ketegangan politik dalam kerajaan perpaduan.
Spekulasi itu semakin memuncak selepas Barisan Nasional (BN), yang merupakan rakan utama dalam kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar, mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi. – UTUSAN









