KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) melancarkan Wacana Global Ekonomi Insan (HEGD) 2026, sebuah platform wacana ekonomi antarabangsa yang menekankan pendekatan pembangunan berteraskan nilai kemanusiaan menerusi tema “mengangkat kemanusiaan demi kemakmuran sejagat”.
Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Prof. Datuk Dr. Saadiah Mohamad berkata, HEGD yang bermula sebagai dialog maya ketika pandemik Covid-19 pada 2021 kini berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemimpin perniagaan, aktivis masyarakat, golongan belia dan organisasi sivil dari pelbagai negara bagi membincangkan masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Katanya, pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya diukur berdasarkan angka, keuntungan atau statistik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui keupayaannya mengangkat maruah insan, memperluaskan peluang, mengukuhkan masyarakat dan menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
“Di sebalik setiap statistik terdapat manusia, di sebalik setiap dasar terdapat keluarga dan komuniti, manakala di sebalik setiap keputusan perniagaan terdapat pekerja, pengguna serta generasi masa depan. Kemajuan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada kesejahteraan rakyat, “ katanya pada sidang media pelancaran HEGD 2026, di sini semalam.
Menurut Saadiah, dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaksamaan ekonomi, krisis tenaga, kemerosotan alam sekitar, peningkatan jejak karbon serta polarisasi sosial, walaupun kemajuan teknologi dan sains berkembang pesat.
“Cabaran terbesar hari ini bukan kekurangan ilmu, teknologi atau sumber, tetapi risiko kehilangan nilai kemanusiaan dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.
HEGD 2026 akan berlangsung pada 22 dan 23 Julai di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dengan pengisian melibatkan lebih 40 sesi forum, dialog, pembentangan serta bengkel yang menghimpunkan tokoh tempatan dan antarabangsa.
Persidangan itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala ucaptama penutup akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Antara tokoh antarabangsa yang akan menyertai HEGD 2026 termasuk sarjana Islam terkemuka Prof. Dr. Jasser Auda, pakar ekonomi pembangunan mampan Prof. Jeffrey D. Sachs, ahli ekonomi pembangunan Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram serta penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M Prof. Tan Sri Dr. Osman Bakar.
Bagi memastikan perbincangan lebih menyeluruh, HEGD 2026 akan dibahagikan kepada tiga landasan dialog utama iaitu Perniagaan dan Kewangan, Belia, serta Masyarakat Sivil (NGO) yang akan menumpukan kepada kepimpinan beretika, pertumbuhan ekonomi mampan, inovasi sosial dan pembangunan inklusif.
Persidangan itu turut menampilkan pengasas perusahaan sosial, pemimpin industri, penggubal dasar, institusi kewangan, organisasi masyarakat sivil, usahawan belia dan aktivis komuniti yang akan berkongsi pengalaman mengenai pembangunan ekonomi berasaskan nilai, pendidikan, perusahaan sosial, pemerkasaan belia serta pembangunan komuniti.
HEGD dibangunkan sebagai platform dialog terbuka yang menggalakkan pertemuan pelbagai pandangan secara beradab, konstruktif dan berteraskan hikmah, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya Matlamat Ke-17 yang menekankan kerjasama strategik.
Mengulas mengenai aspirasi HEGD 2026, beliau berkata, kejayaan sesebuah ekonomi bukan hanya diukur melalui kadar pertumbuhan, pelaburan atau inovasi, tetapi sejauh mana ia melindungi maruah manusia, memperkukuh perpaduan sosial, mewujudkan peluang saksama dan membina harapan kepada generasi akan datang.
“HEGD bukan sekadar sebuah persidangan, tetapi satu jemputan kepada semua pihak untuk bersama-sama membina ekonomi yang benar-benar berkhidmat kepada manusia dan alam sekitar. Ukuran sebenar kemajuan bukan hanya kekayaan yang dicipta, tetapi kehidupan yang berjaya diperkasakan,” katanya. – UTUSAN










