KOTA BHARU: Demi meraih keuntungan berganda, segelintir individu di negeri ini sanggup berselindung di sebalik perniagaan sah seperti kedai aksesori telefon, barangan elektrik dan minyak wangi semata-mata untuk menjual rokok elektronik atau vape secara haram.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kegiatan itu dikesan hasil operasi bersepadu dan pemantauan berterusan yang dijalankan sejak Kelantan mengharamkan penjualan vape pada 2015.
Katanya, sepanjang Januari hingga Julai lalu, sebanyak 45,201 peranti vape dan cecair nikotin dalam botol kecil dirampas melibatkan 65 operasi.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 34,371 peranti vape telah dirampas dan selebihnya cecair nikotin. Cecair ini dijual serendah RM10 untuk satu botol mengikut gred,” katanya daam sidang akhbar sempena Pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops PaPa) Peringkat Negeri Kelantan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini hari ini. – UTUSAN










