Sindiket bunga ganja RM2.4 juta ditumpas

Sindiket bunga ganja RM2.4 juta ditumpas

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran bunga ganja seberat 68 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM2.4 juta hasil tangkapan lima individu termasuk pasangan suami isteri di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan pertama melibatkan bunga ganja dianggarkan 64.6kg itu dibuat di tepi jalan berdekatan Lot 88, di sini pada pukul 1.30 tengahari 3 Ogos lalu.

“Bunga ganja itu ditemui dalam lima bagasi yang diletakkan pada bonet kereta dan tiga lelaki berusia antara 24 hingg 26 tahun berjaya ditahan.

“Serbuan seterusnya di sebuah rumah di SP Saujana Permai yang menemui 2kg dadah itu yang disimpan dalam peti sejuk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini. 

Kata Adzli, melalui serbuan ketiga sehari kemudian, pihaknya berjaya menahan dua wanita berusia 24 dan 25 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

“Wanita berumur 26 tahun itu merupakan isteri kepada suspek pertama yang ditahan yang juga merupakan dalang utama dan bekerja sebagai ‘ahlong’.

“Modus operandi mereka adalah menggunakan penduduk tempatan yang dihantar menaiki kereta sambil diekori sebuah lagi kereta sebagai kenderaan pengawal untuk mengambil dadah di negara jiran dan menggunakan pintu sempadan Bukit Kayu Hitam sebagai laluan,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu akan ditinggalkan kepada sindiket di negara jiran selama dua ke tiga jam dan selepas dadah diisi ke dalam panel pintu atau bonet, kenderaan itu dibawa keluar melalui pintu sempadan di Padang Besar.

“Transporter yang berjaya membawa dadah keluar dari negara jiran dibayar RM10,000 untuk satu perjalanan dan RM1,000 tambahan akan diberi jika berjaya menghantar dadah itu ke Shah Alam.

“Dadah ini dipercayai untuk edaran ke negara ketiga dan sindiket ini dikesan baru saja beroperasi awal Julai lalu,” katanya.

Tambahnya, siasatan juga mendapati sindiket terbabit baru tiga kali berjaya menyeludup bunga ganja dari negara jiran sebelum berjaya dikesan awal bulan ini. 

“Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari hingga 11 Ogos depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN