BERA: Di sebalik kemanisan sebekas ‘Cendol Meleleh’ yang diusahakan dua beradik dari Kampung Seri Lebak, Temerloh dekat sini, tersimpan sebuah kisah duka dan kecekalan luar biasa yang kini menjadi perhatian seluruh negara.
Meskipun masing-masing kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan tragis dua tahun lalu, Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, membuktikan bahawa status orang kurang upaya (OKU) bukan alasan untuk menagih simpati, sebaliknya mereka bangkit menjadi usahawan demi menyara hidup.
Kecekalan luar biasa dua beradik perempuan ini bukan sahaja menyentuh hati netizen hingga tular dalam media sosial, malah mendapat perhatian khusus Kerajaan Negeri Pahang sejak awal tragedi hitam itu berlaku pada 2024.
Nik Haziera Safiyya berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi pemangkin semangat utama untuk mereka memulakan kehidupan baharu.
”Dari awal kami terlibat kemalangan, kerajaan negeri sentiasa menyalurkan bantuan sehinggalah kami mampu berniaga seperti sekarang,” katanya ketika ditemui sempena Festival Budaya Rakyat Pahang di Dataran Kerayong di sini.
Nik Haziera Safiyya turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan yang disifatkan sebagai individu yang paling kerap turun padang menziarahi mereka secara senyap tanpa publisiti.
Mengulas tentang kaki palsu, katany, sebelum ini mereka ada menerima sumbangan itu daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip).
Bagaimanapun katanya, keadaan tunggul kaki yang pendek menyebabkan pemakaian alat tersebut kurang selesa dan menyakitkan, sekali gus menyebabkan mereka lebih bergantung kepada tongkat untuk bergerak.
Sementara itu, Sabariah berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau rapat kebajikan dua beradik tersebut, malah kedua-duanya kini disahkan menerima elaun pekerja OKU secara bulanan.
”Sebenarnya saya mengikuti rapat perkembangan mereka sejak 2024, cuma selama ini kita tidak uar-uarkan. Beberapa agensi juga sudah dipanggil untuk menyalurkan bantuan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil maklum hasrat dua beradik tersebut untuk memiliki premis perniagaan sendiri dan perkara itu akan diperhalusi bersama pihak berkaitan. – UTUSAN










