SETIU: Berdepan najis dan bau kurang menyenangkan setiap hari, seorang pemuda dari Kampung Pandan Jaya di sini, tidak pernah ambil peduli kerana menyedari bahan buangan ternakan ayam itu mampu memberi pulangan lumayan sebaik sahaja diproses menjadi baja organik.
Muhammad Rafi’uddin Roslan, 27, berkata, dia menternak ayam kampung kacukan secara sambilan sejak enam tahun lalu dan selain bekerja sebagai pembantu kedai.
Katanya, pada peringkat awal, dia membuang najis ayam dari reban kerana tidak mengetahui ia boleh diproses menjadi baja organik yang mempunyai permintaan tinggi.
“Dulu saya bela ayam sekadar hobi dan buang sahaja najis ayam sebab tak tahu ada nilai komersial. Apabila ada penduduk kampung datang minta untuk dijadikan baja tanaman, saya mula nampak peluang untuk mengusahakannya secara serius.
“Saya mempelajari kaedah menghasilkan baja organik menerusi media sosial sebelum memulakan pengeluaran secara aktif pada awal tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pandan Jaya.
Menurut Muhammad Rafi’uddin, baja tersebut dihasilkan menggunakan campuran tahi ayam, sekam padi dan habuk kayu tanpa sebarang bahan kimia.
Ujarnya, sekam padi dan habuk kayu digunakan sebagai alas reban untuk mengurangkan bau najis selain membantu menghasilkan baja yang lebih berkualiti.
“Peningkatan jumlah ternakan daripada 50 ekor pada peringkat awal kini mencecah sehingga 500 ekor ayam semusim turut meningkatkan penghasilan baja organik,” katanya.
Menurutnya, setiap 40 hari dia mampu menghasilkan kira-kira 50 guni baja seberat 10 kilogram setiap satu dan dijual pada harga RM7 seguni.
“Permintaan terhadap baja organik ini memang tinggi terutama dalam kalangan pekebun sawit dan pengusaha tanaman bunga kerana ia membantu menyuburkan pokok secara semula jadi.
“Bila semakin ramai kenal produk ini, tempahan juga bertambah termasuk melalui jualan dalam talian,” katanya.
Selain menghasilkan baja organik, dia membekalkan ayam kampung kacuk kepada pemborong di Dungun dengan jumlah jualan kira-kira 6,000 ekor ayam bagi setahun. – UTUSAN







