LA GUAIRA: Sebuah restoran makanan segera, McDonald’s, di Venezuela diubah menjadi hospital lapangan sementara ketika ribuan mangsa mendapatkan rawatan susulan dua gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 2,600 nyawa.
Empat beg cecair intravena (IV) kelihatan tergantung dari siling restoran berkenaan yang kini berfungsi sebagai pusat rawatan sementara susulan gempa bumi kuat berukuran 7.2 dan 7.5 skala Richter melanda negeri La Guaira.
Bencana tersebut turut memusnahkan banyak bangunan dan menyebabkan sistem kesihatan tempatan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi.
Pakar bedah, Karlys Figueroa berkata, restoran McDonald’s di kawasan Caraballeda kini menerima puluhan pesakit yang mengalami krisis tekanan darah tinggi, serangan kebimbangan dan gejala cirit-birit.
Beliau yang menyertai misi bantuan sebagai sukarelawan berkata, premis itu diubah menjadi pusat rawatan lengkap dengan kawasan saringan awal, farmasi, stor bekalan ubat serta ruang rawatan psikologi dan veterinar.
Lebih 30 doktor kini bertugas di pusat rawatan sementara itu bagi merawat mangsa gempa.
Sementara itu, hampir 4,000 pesakit turut menerima rawatan di sebuah lagi pusat kesihatan sementara yang dibuka di terminal bas Catia La Mar.
Pada peringkat awal bencana, mangsa hanya dihantar ke dua hospital yang tersedia, namun kedua-dua sesak dalam tempoh beberapa jam selepas gempa bumi yang disifatkan antara paling dahsyat pernah melanda Amerika Latin.
Keupayaan sistem kesihatan di La Guaira kini berada pada tahap kritikal, dengan hospital dan rumah mayat tidak lagi mampu menampung jumlah korban serta kira-kira 12,600 mangsa cedera.
“Ia amat mengerikan. Mayat bergelimpangan di jalan, rumah mayat tidak mampu menampung jumlah korban, malah mayat dibiarkan di tepi jalan sehingga mula mereput,” kata Pakar obstetrik dan ginekologi (O&G), Maria Jose Pino.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, risiko penyakit wabak semakin meningkat apabila mangsa yang kehilangan tempat tinggal memenuhi pusat perlindungan susulan runtuhan lebih 150 bangunan di La Guaira.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, doktor melaporkan peningkatan kes cirit-birit, disentri, sakit perut, loya dan muntah, yang mencetuskan kebimbangan di pusat rawatan sementara berkenaan.- AFP










