KANSAS CITY: England enggan menjadikan faktor altitud tinggi Stadium Azteca sebagai alasan menjelang pertembungan getir menentang tuan rumah bersama, Mexico pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, esok.
Penyerang England, Marcus Rashford mengakui cabaran menanti mereka bukan mudah, namun percaya pengalaman dimiliki skuad The Three Lions sudah cukup untuk mengharungi suasana sukar di gelanggang keramat Mexico itu.
“Ia pasti sukar kerana tiada lagi perlawanan mudah di Piala Dunia dan setiap pasukan hadir dengan cabaran berbeza yang memerlukan kami mencari penyelesaian baharu di atas padang serta ketika latihan.
“Faktor altitud memang memberi kesan tetapi ia bukan sesuatu yang kami risaukan kerana kami memiliki pemain berpengalaman dan hanya perlu menguruskan perlawanan dengan sebaik mungkin,” kata Rashford.
England bakal beraksi pada ketinggian 2,240 meter (m) dari paras laut selain perlu berdepan rekod kebal Mexico yang hanya tewas dua kali daripada 89 aksi di Stadium Azteca.
Lebih menggerunkan, Mexico belum dibolosi sebarang gol sepanjang empat perlawanan di Piala Dunia kali ini, sekali gus menuntut ketajaman jentera serangan yang diketuai Harry Kane.
Pemain tengah England, Morgan Rogers pula percaya tahap kecergasan serta semangat tinggi dimiliki rakan sepasukan mampu membantu mereka mengharungi cabaran getir di hadapan puluhan ribu penyokong fanatik Mexico.
“Kami akan menyesuaikan diri dengan keadaan di sana dan melihat bagaimana situasinya kerana kami datang sebagai pasukan yang cergas, bersedia serta cukup lapar untuk mencipta kemenangan.
“Penyokong Mexico pasti akan menjadikan suasana lebih mencabar, namun itulah yang membuatkan perlawanan ini begitu mengujakan dan kami tidak sabar untuk merasainya,” kata Rogers. – AGENSI
KAPSYEN: ENGLAND mengharapkan penyudah tajam Harry Kane untuk membawa The Three Lions ke suku akhir Piala Dunia 2026.- AFP










