TEMERLOH: Industri ikan patin di daerah ini diperkukuh melalui pelaksanaan pensijilan halal oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), dalam usaha menambah nilai dan memperluas pasaran produk ke peringkat lebih tinggi termasuk sektor pelancongan, perhotelan serta makanan.
Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md. Zain berkata, sijil halal bukan sahaja memenuhi tuntutan syariah malah menjadi jaminan kepada pengguna berhubung aspek kebersihan, pengurusan dan keselamatan makanan khususnya bagi pelanggan muslim.
Ia juga memberikan impak langsung kepada perkembangan sektor hotel, restoran dan katering yang kini semakin menitikberatkan aspek pematuhan halal bagi mengekalkan kepercayaan pelanggan serta mematuhi standard hospitaliti Islamik.
“Hotel dan restoran menyajikan menu berasaskan ikan patin asli termasuk sejuk beku dari Sungai Pahang lebih diyakini jika memiliki sijil halal. Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelancong, tetapi turut mengembangkan produk tempatan ke rangkaian makanan antarabangsa,” katanya.
Temerloh dikenali sebagai Bandar Ikan Patin menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar kerana keenakan patin tempoyak asli dari Sungai Pahang. Pengiktirafan halal menjadi pelindung kepada reputasi makanan ikonik ini daripada kekeliruan dengan produk tiruan.
Hingga kini sebanyak 612 premis di seluruh Pahang sudah menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), termasuk 150 restoran dan 50 hotel dengan tiga daripadanya di Temerloh.
Hingga kini 70 peniaga di lima hentian sepanjang LPT termasuk di Temerloh, Gambang dan Bentong memperoleh sijil halal hasil bimbingan JAIP denga kerjasama pelbagai agensi teknikal.
“Pensijilan halal melonjakkan potensi eksport dan menempatkan ikan patin sebagai produk ikonik halal Pahang,” katanya. – UTUSAN










