Setahun berlalu, kehilangan pencari siput kekal misteri - Utusan Malaysia

Setahun berlalu, kehilangan pencari siput kekal misteri

MOHAMAD Noor Azlan Yahya menunjukkan hutan paya bakau lokasi bapanya sering mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kehilangan dua pencari siput belitung lebih setahun lalu terus menjadi tanda tanya, namun ahli keluarga mangsa tidak pernah berputus asa mengharap kepulangan mereka.

Yahya Harun, 55, dan rakannya, Azman Mat Jaab, 61, dilaporkan hilang di kawasan Sungai Tuntung, Pantai Remis di sini pada Julai lalu ketika mencari siput belitung.

Mereka tidak ditemukan walaupun operasi pencarian secara besar-besaran dilakukan termasuk oleh tentera.

Anak kepada Yahya, Mohamad Noor Azlan, 29, berkata, jika tersesat sekali pun, mereka yakin bapanya mampu mencari jalan pulang kerana sudah biasa dengan kawasan itu.

“Walaupun sudah lebih setahun bapa dan rakannya hilang, kami tetap mengharapkan keajaiban mereka pulang. Saya masih ke kawasan hutan paya, lokasi di mana bapa dan rakannya sering mencari siput belitung dan berdoa di situ agar mereka ditemukan.

“Saya percaya abah masih berada di kawasan hutan paya bakau di Sungai Tuntung, walaupun semua ahli keluarga belum berjaya menemuinya, kami sentiasa berdoa dan mengadakan kenduri memohon diberikan petunjuk baru.

“Hingga hari ini susah nak terima hakikat mereka tiada di dunia ini, selagi jasad abah tidak ditemukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad Noor Azlan ber­kata, pelbagai cara digunakan dan ramai yang cuba mengesan jejak bapanya tetapi tidak berjaya.

“Langsung tidak ada per­kembangan yang dapat menenangkan hati kami sekeluarga. Selama ini kami hanya mampu terus menunggu dan berdoa agar kehilangan yang menjadi tanda tanya ini terungkai suatu hari nanti, kami reda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN