PRN Johor: SPR kesan 305 kesalahan berkempen dikesan - Utusan Malaysia

PRN Johor: SPR kesan 305 kesalahan berkempen dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 305 laporan dan aduan membabitkan pelbagai kesalahan kempen oleh parti-parti politik yang bertanding dikesan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 setakat semalam.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, kesalahan memasang bahan kempen di kawasan larangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 140 kesalahan.

Menurutnya, ia diikuti dengan kesalahan menaikkan bahan kempen di kawasan yang menghalang pandangan pengguna jalan raya dan lalu lintas iaitu sebanyak 90 kesalahan.

“Selain itu, sebanyak 27 kesalahan dikesan melibatkan bahan kempen yang didapati berada di dalam kawasan 50 meter daripada Pusat Mengundi, manakala 48 lagi adalah di bawah kesalahan-kesalahan lain.

“Laporan aduan yang diterima di bawah bidang kuasa Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah diambil tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, SPR menubuhkan sebanyak 56 PP-KPR bagi menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di sepanjang tempoh berkempen yang bermula dari Hari Penamaan Calon pada 27 Jun lalu sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai ini.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata, SPR bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan aktiviti berkempen berada dalam keadaan terkawal.

Beliau menyeru semua calon dan parti politik yang bertanding agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Langkah ini penting bagi memastikan aktiviti berkempen dapat berjalan dengan baik dan lancar. SPR amat komited dalam melaksanakan pilihan raya yang cekap, adil, telus serta berintegriti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN