Sepak penalti mencari Sarjan Hassan

Sepak penalti mencari Sarjan Hassan

FATHUL Bari Mat Jahya (tiga dari kanan) menyerahkan bola sebelum berlangsungnya Kejohanan Sepak Penalti Frontliner: Mencari Sarjan Hassan bagi meraikan petugas barisan hadapan sempena sambutan bulan kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Kuala Perlis semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Siapa sangka, sempena bulan kemerdekaan ini, ‘Sarjan Hassan’ yang dicari bukan di medan perang, tapi di padang bola sepak. 

Kelainan ini ditampilkan Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) apabila menganjurkan Kejohanan Sepak Penalti Frontliner: Mencari Sarjan Hassan, khas untuk meraikan barisan hadapan negara bertempat di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam.

Acara yang menyatukan wira-wira negara dalam suasana penuh semangat, sorakan dan persahabatan ini mendapat kerjasama Pejabat Dr. Fathul Bari dan Jabatan Penerangan negeri, serta berjaya menarik penyertaan 32 pasukan daripada pelbagai agensi.

Antara terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Grab, RELA, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain agensi yang pernah berdiri di barisan hadapan ketika negara berdepan pelbagai cabaran, termasuk pandemik.

Penaung Abata, Fathul Bari, berkata kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi simbol penghargaan terhadap keberanian dan semangat juang frontliners.

“Saya berbesar hati bersama wira barisan hadapan dalam acara yang bukan sahaja menyatukan mereka, tetapi juga memperkukuh semangat kekeluargaan dan patriotik sempena bulan kemerdekaan,” katanya.

Kejohanan berkenaan menjadi platform membina jati diri, menyemai nilai kerjasama, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta, khususnya anak muda.

Program ini turut dimuatkan dalam rangka Kembara Merdeka dan Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat negeri.

Kejohanan penuh semangat itu menyaksikan pasukan juara membawa pulang RM1,000, piala dan sijil penyertaan. Naib johan menerima RM700 dan hamper, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM500 dan RM300 beserta hamper. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN