LAHAD DATU: Seorang maut manakala dua cedera selepas sebuah kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka terbabas di bulatan depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid, mangsa yang maut merupakan remaja perempuan berusia 19 tahun sementara dua lelaki terbabit berusia 28 dan 31 tahun mengalami cedera ringan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pukul 4.42 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan sebuah unit EMRS dari Balai Bomba Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat tiga mangsa dalam kereta terbabit. Dua lelaki tersebut berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba. Mangsa wanita tersepit di bahagian penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa lelaki yang cedera ringan dan cedera di bahagian mulut dihantar ke hospital oleh ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan. – UTUSAN










