PRN Johor: PH terbuka bentuk kerjasama demi rakyat - Utusan Malaysia

PRN Johor: PH terbuka bentuk kerjasama demi rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuklah yang berlainan dengan haluan gabungan parti politik tersebut.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Dr. Maszlee Malik berkata, perkara teras yang harus difahami ialah kepentingan rakyat di negeri ini perlu diberikan keutamaan.

“Bagi saya, sebagai pihak yang berkhidmat kepada rakyat, kita terbuka untuk duduk dengan semua pihak, termasuk yang mungkin berlainan haluan dengan kita.

“Sebab kita meraikan kepelbagaian. Yang penting, kita meletakkan keutamaan kepada rakyat dan juga kepada negeri Johor itu sendiri,” katanya kepada kepada pemberita selepas mengadakan walkabout di Setia Indah, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Dr. Sahruddin Jamal menegaskan gabungan itu tetap tidak akan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN, kecuali parti yang mempunyai ideologi sehaluan.

Sementara itu, Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa berkata, kempen yang digerakkan jenteranya mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

“Kempen yang memasuki hari keenam ini akan diperkemaskan dengan memastikan setiap kawasan di Puteri Wangsa ini dikunjungi bagi mendekati pengundi.

“Dalam menuju minggu terakhir ini, kita akan merayu kepada mereka yang bekerja di luar, duduk di luar, untuk balik pulang mengundi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN