SHAH ALAM: Pengunjung di pusat beli-belah Kompleks PKNS, Seksyen 14, di sini gempar apabila melihat kepulan asap di dalam premis itu susulan berlaku kebakaran, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kebakaran membabitkan sebuah bilik penghawa dingin (AHU) di premis berkenaan.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bilik penghawa dingin di tingkat 1 bangunan. Kerja kerja overhaul sedang dilakukan dan anggaran kemusnahan 70 peratus.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik penghawa dingin(AHU) berkeluasan 49 kaki persegi. Kerja kerja overhaul dan ventilation masih dilakukan oleh anggota di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.53 petang sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam kira-kira 7 kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Tambahnya, kebakaran terbabit tidak melibatkan sebarang mangsa sama ada pekerja ataupun pengunjung.
Terdahulu, kebakaran tersebut tular dalam media sosial dan pengunjung mendakwa mereka diarahkan keluar selepas terdapat kepulan asap mula memenuhi ruang niaga. – UTUSAN










