MUAR: Nahas membabitkan 11 buah kenderaan di Kilometer 129.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat sini pagi tadi mengakibatkan kesesakan luar biasa di lebuh raya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kemalangan yang melibatkan lima buah lori, lima buah kereta dan sebuah van itu kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. Identiti mangsa serta punca kemalangan masih dalam siasatan.
“Perkembangan lanjut mengenai mangsa-mangsa yang terlibat dan lain-lain berkaitan kemalangan akan menyusul.
“Akibat kemalangan berkenaan, lorong kiri dan kanan lebuh raya terhalang dan tidak boleh dilalui.
“Kesesakan luarbiasa dijangka berlaku bagi kenderaan yang melalui kawasan kemalangan disebabkan kenderaan hanya boleh melalui lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, pihak polis menasihati semua pengguna lebuhraya agar berhati-hati ketika melalui kawasan kemalangan dan sekiranya perlu menggunakan laluan alternatif. –UTUSAN










