Seorang lagi mangsa kapal layar karam ditemukan selamat

Seorang lagi mangsa kapal layar karam di Pulau Yu ditemukan selamat

AHMET Volkan Ata diselamatkan selepas terapung kira-kira 43 jam sebelum dijumpai nelayan tempatan malam tadi. – IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Selepas terapung kira-kira 43 jam di tengah laut, seorang lagi mangsa tragedi kapal layar karam di perairan Pulau Yu, dekat sini ditemukan dalam keadaan selamat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa kedua yang juga kapten kapal layar Daisy ditemukan nelayan tempatan kira-kira tujuh batu nautika dari lokasi kejadian.

Katanya, Ahmet Volkan Ata, 52, kemudian diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) pada pukul 9.45 malam.

“Mangsa dibawa ke Jeti PPM Kuala Terengganu sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. Ahmet kini berada di Zon Kuning HSNZ dan dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan luaran dikesan namun pemeriksaan lanjut di bahagian dalaman akan dilakukan berikutan beliau berada terlalu lama di dalam laut,” katanya.

Menurut beliau, seorang lagi mangsa, Eser Demirkol, 53, belum dijumpai dan usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi pada 30 Julai lalu, tiga warga Turkiye termasuk Ahmet dan Eser bersama seorang lagi mangsa yang telah diselamatkan lebih awal, Ates Demiroren, 41, menaiki kapal layar Daisy dalam pelayaran pulang ke Istanbul, Turkiye.

Kapal layar berkenaan yang dalam siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka dipercayai karam akibat dipukul ribut ketika menghampiri perairan Pulau Yu. Setakat ini, dua daripada tiga mangsa ditemukan dalam keadaan selamat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN