Sukuk global Malaysia rekod lebihan dagangan langganan 4.7 kali, permintaan tertinggi lebih AS$9.5b

Sukuk global Malaysia rekod lebihan dagangan langganan 4.7 kali, permintaan tertinggi lebih AS$9.5b

AMIR HAMZAH AZIZAN bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia berjaya melaksanakan penetapan harga ke atas Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) berjumlah AS$1.5 bilion yang mencatatkan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali, dengan jumlah permintaan langganan tertinggi melebihi AS$9.5 bilion.

Terbitan ini merangkumi AS$850 juta dengan tempoh matang 5.75 tahun dan AS$650 juta dengan tempoh matang 10 tahun.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, permintaan yang kukuh ini membolehkan kerajaan menetapkan harga akhir terendah sebanyak 30 mata asas daripada Panduan Harga Awal (IPG) kepada T+15 mata asas bagi tranche 5.75-tahun dan sebanyak 30 mata asas kepada T+25 mata asas bagi tranche 10-tahun.

Katanya, ia sekali gus mencapai kadar spread terendah pernah dicatatkan bagi terbitan sukuk global Malaysia.

“Terbitan ini membuktikan kedudukan Malaysia dalam pasaran kewangan antarabangsa dengan penetapan penanda aras baharu yang akan berfungsi sebagai panduan harga yang penting untuk terbitan global baharu entiti berkaitan kerajaan dan sektor swasta negara.

“Di samping itu, terbitan ini menyokong penglibatan berterusan bersama pelbagai segmen pelabur global.

“Permintaan yang kukuh ini mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap agenda pembaharuan fiskal dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amir Hamzah, sukuk ini adalah bersandarkan aset yang merangkumi hak perkhidmatan dalam rangkaian pengangkutan rel awam bandar di Malaysia dan distrukturkan di bawah konsep Manafae selaras dengan garis panduan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).

Katanya, pencapaian ini menekankan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam dan pasaran Sukuk terkemuka dunia.

“Dasar ekonomi Malaysia pada hari ini dipandu oleh kerangka Ekonomi Madani dan telah memacu negara di landasan yang tepat.

“Kita telah memperkukuh kewangan awam, memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan serta meletakkan asas yang teguh dalam membina daya tahan Malaysia bagi jangka masa Panjang.” Katanya.

Beliau berkata, lebihan langganan yang tinggi dengan kadar spread terendah mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan dasar pembangunan negara yang kukuh.

Katanya, ini membuktikan bahawa agenda pembaharuan, strategi pengurusan hutang yang berhemat dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan terus menarik sokongan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN