SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian beberapa bendera parti politik yang dipercayai dicabut di kawasan Dusun Setia di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.54 pagi, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut dirakam oleh orang awam sebelum video berkenaan tular di media sosial.
“Rakaman video itu memaparkan seorang lelaki mencabut beberapa bendera parti politik yang dipasang di tepi jalan.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk merakam percakapan saksi dan mendapatkan analisis terhadap rakaman video berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – UTUSAN










