Sindiket aktif melombong mata wang kripto RM100,000 sebulan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket aktif melombong mata wang kripto RM100,000 sebulan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket yang aktif menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto dengan membuat keuntungan sehingga RM100,000 sebulan tumpas selepas empat premis mereka diserbu polis, semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan yang dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menyaksikan seramai tiga lelaki tempatan ditahan, berusia antara 26 hingga 46 tahun.

Katanya, sindiket itu menjalankan aktiviti berkenaan dengan mencuri elektrik melalui saluran tidak sah melibatkan kerugian anggaran RM67,502.30.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjalankan aktiviti perlombongan matawang kripto menggunakan cara sambungan terus tanpa melalui meter sah daripada TNB.

“Kaedah ini membolehkan sindiket menjalankan aktiviti mereka tanpa perlu membayar bil elektrik mengikut kadar tarif yang sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Johor, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, menerusi serbuan yang dibuat di Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kulai, pihaknya telah merampas pelbagai barangan antaranya 71 buah mesin Perkim mata wang kripto, dua buah kenderaan, dua komputer dan dua komputer riba.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak sebulan lalu dan beberapa ahli sindiket dipercayai masih bebas dan sedang diburu polis.

“Semua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, Polis Johor telah menyerbu 16 premis perlombongan mata wang kripto melibatkan 158 mesin perlombongan mata wang berkenaan dengan anggaran kerugian bekalan elektrik bernilai RM1 juta.

“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada kepada mana-mana pihak yang ingin menyewa premis mereka khususnya apabila ditawarkan bayaran sewa bulanan tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN