PETALING JAYA: Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) umpama kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam.
Katanya, ini kerana kerjasama tersebut tidak dibina atas asas kepercayaan serta kesetiaan politik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu mungkin dilihat kukuh pada permulaan, namun sukar bertahan apabila masing-masing mempunyai cita-cita politik yang berbeza.
“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja. Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun akhirnya karam selepas melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BN dan PN mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi persefahaman itu, BN bertanding di 25 kerusi, manakala parti-parti komponen PN iaitu Pas, Gerakan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) bertanding di 11 kerusi.
Gabungan itu berdepan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di semua 36 kerusi, selain Bersatu yang meletakkan calon di 24 DUN.
Mengulas lanjut, Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, kerjasama BN dan PN tidak mempunyai nilai ‘politik persahabatan’ kerana setiap pihak lebih mengutamakan cita-cita sendiri untuk menguasai tampuk kepimpinan negara.
“Masing-masing bercita-cita untuk menjadi perdana menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka juga tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang hanyalah pucuk masing-masing.
“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, PH telah membuktikan kesetiaan dalam kerjasama antara parti komponennya apabila PKR, DAP dan Amanah terus mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Menurutnya, kemenangan calon PH pada PRN Negeri Sembilan penting bagi mempertahankan nilai kesetiaan dan politik persahabatan yang menjadi asas gabungan itu.
“Ia adalah nilai yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain Pakatan Harapan. Kekalkan Harapan, akan kekallah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini,” katanya. – UTUSAN










