Sasar 500 individu bujang daftar portal jodoh patuh syariah Terengganu

Sasar 500 individu bujang daftar portal jodoh patuh syariah Terengganu

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) merasmikan Portal Jodoh Darul Iman di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya 500 individu bujang mendaftar dalam Portal Jodoh Darul Iman menjelang hujung tahun ini selepas ia mula dibuka kepada umum bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sambutan dijangka menggalakkan memandangkan pendaftaran dilakukan secara percuma dan platform itu dikawal ketat mengikut syariah.

Katanya, inisiatif itu adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan dan menangani isu sosial dalam kalangan belia.

“Platform ini diwujudkan bagi memberi ruang kepada anak muda Islam di Terengganu untuk mencari jodoh secara beradab bukan seperti aplikasi lain yang bebas pergaulan tanpa batasan.

“Portal ini dibangunkan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan dengan kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Portal Jodoh Darul Iman yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Maliaman berkata, orang ramai yang berminat boleh mula mendaftar melalui laman sesawang www.jodohdaruliman.com bermula hari ini.

Katanya, pendaftaran hanya terbuka kepada lelaki dan wanita Muslim berusia 18 tahun ke atas yang merupakan warganegara Malaysia serta anak jati Terengganu sama ada yang lahir, menetap atau mempunyai keluarga di negeri ini.

“Hanya individu bujang atau ibu bapa tunggal yang belum berkahwin layak mendaftar. Semakan ketat akan dibuat bagi memastikan peserta benar-benar memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Katanya, portal itu berkonsepkan taaruf secara syarie dengan jaminan keselamatan dan kerahsiaan data pengguna dengan tiada sebarang komunikasi bebas antara peserta dibenarkan seperti yang berlaku dalam aplikasi pencarian jodoh biasa.

“Kita kawal ketat semua aspek termasuk pemantauan pihak berautoriti agar ia kekal bersih, profesional dan menjaga adab dalam proses pencarian jodoh,” katanya.

Katanya, inisiatif itu juga merupakan langkah strategik bagi mengurangkan kadar kelewatan perkahwinan, membendung gejala sosial dalam kalangan remaja dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan institusi perkahwinan dalam Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN