PRN Johor: 60 ahli Bersatu masuk PKR, sokong kepimpinan Anwar Ibrahim - Utusan Malaysia

PRN Johor: 60 ahli Bersatu masuk PKR, sokong kepimpinan Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) Cawangan Senggarang Timur menerima tamparan saat akhir apabila seramai 60 ahlinya mengumumkan keluar parti dan menyertai PKR, malam tadi.

Bekas Ketua Bersatu Cawangan Senggarang Timur, Mohamad Asri Sebin berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka memilih untuk menyokong kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berharap mereka yang masih dalam Bersatu dapat berhijrah dan buka minda.

“Saya pilih kerajaan yang memerintah negara kita dan itu adalah pendirian saya,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar pada program Ramah Mesra Bersama Anak Muda di Senggarang.

Sementara itu, Onn yang juga calon Pakatan Harapan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang berkata, beliau dimaklumkan kemasukan itu membabitkan seramai 60 anggota baharu, dengan sebahagian lagi masih dalam proses mengisi borang keahlian.

“Kami difahamkan lebih kurang 60 anggota baharu daripada Bersatu menyertai PKR. Ada lagi borang yang belum diisi dan saya harap dapat menyerahkan borang ini kepada Perdana Menteri hari ini jika berkesempatan.

“Saya pun tak sangka mereka akan datang malam ini (malam tadi). Kita akan santuni anggota baharu ini dan libatkan mereka dalam program-program PKR di Batu Pahat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN