Thailand salur RM80,000 untuk mangsa bom Tak Bai

Thailand salur RM80,000 untuk mangsa bom Tak Bai

Gabenor Narathiwat, Boonchuey Homyamyen menyampaikan pampasan kepada Muhammad Yusri Udin pada majlis di Sungai Golok, Thailand.- IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI GOLOK (THAILAND): Kerajaan Thailand menyalurkan pampasan hampir RM80,000 kepada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom di Daerah Tak Bai, Narathiwat pada 29 Jun lalu sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa yang terjejas dalam serangan itu.

Pampasan berjumlah RM79,823 itu disalurkan susulan arahan terus Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menerusi Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negara itu dalam membantu mangsa termasuk warga asing yang terkesan akibat pergolakan di selatan Thailand.

Daripada jumlah tersebut, bantuan kewangan awal sebanyak RM7,368 diperuntukkan kepada kedua-dua mangsa bagi kecederaan fizikal yang dialami, meliputi RM1,228 untuk kecederaan ringan dan RM6,140 bagi kecederaan serius.

Pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50, Muhammad Yusri Udin, 38, pula menerima pampasan keseluruhan sebanyak RM79,823 selepas kenderaannya mengalami kerosakan teruk dalam letupan yang berlaku kira-kira pukul 11.41 pagi itu.

Pampasan tersebut disampaikan oleh Gabenor Narathiwat, Boonchuey Homyamyen pada satu majlis di Rumah Kastam Bangunan Lintasan Sempadan di sini, kelmarin.

Boonchuey berkata, pampasan itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban kedua-dua mangsa, malah membuktikan keikhlasan Wilayah Narathiwat dan kerajaan Thailand dalam menjaga kebajikan mereka yang terjejas akibat pergolakan di selatan negara itu.

“Pampasan itu adalah bayaran akibat kecederaan dan kerosakan harta benda yang dialami rakyat asing susulan pergolakan yang berlaku di Daerah Tak Bai. Ia juga bertujuan meningkatkan semangat mangsa dan memberi galakan selain mengurangkan penderitaan mereka yang terjejas akibat pergolakan itu.

“Kami mengucapkan takziah kepada mangsa atas insiden itu dan sekali lagi menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan leka dalam memastikan keselamatan rakyat serta pelancong asing,” katanya.

Boonchuey berkata, semua agensi keselamatan terus digembleng bagi memperketat kawalan ke tahap tertinggi untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan pelancong terhadap tahap keselamatan di Wilayah Narathiwat.

Katanya, Pusat Pentadbiran Wilayah Narathiwat dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand akan meneruskan pelbagai aktiviti bagi menarik semula pelancong ke wilayah berkenaan.

Difahamkan, seorang lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden sama, Abdullah Syarapi Abd. Rahman, 45, turut menerima pampasan dalam masa terdekat.

Terdahulu, dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera selepas SUV dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN