PHILADELPHIA: Jaringan sepakan penalti kapten Perancis, Kylian Mbappe sudah cukup untuk menghadiahkan Les Blues kemenangan 1-0 ke atas Paraguay dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, di Stadium Philadelphia,awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Didier Deschamp melangkah ke suku akhir, sekali gus mengatur pertemuan getir menentang Maghribi.
Beraksi dalam cuaca panas dan tempo permainan yang cukup sengit, Perancis terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk memecahkan kebuntuan.
Situasi itu hadir apabila pemain gantian, Desire Doue dijatuhkan Diego Gomez ketika melakukan larian ke dalam kotak penalti, sebelum pengadil mengesahkan keputusan selepas semakan menggunakan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Mbappe yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Paraguay menerusi penyudah yang tenang dan kemas.
Gol tersebut merupakan jaringan ketujuh Mbappe pada kempen Piala Dunia kali ini, sekali gus menyamai pencapaian kapten Argentina, Lionel Messi, sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.
Perancis bagaimanapun berdepan tentangan kental daripada Paraguay yang bertahan dengan cukup berdisiplin sepanjang perlawanan, namun pengalaman dimiliki juara dunia itu akhirnya menjadi pemisah.
Kini, tumpuan Perancis beralih kepada aksi suku akhir menentang Maghribi dalam usaha meneruskan misi memburu kejuaraan Piala Dunia.-AGENSI










