Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bermula secara rasmi pagi ini

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bermula secara rasmi pagi ini

SULTAN Ibrahim diiringi Raja Permaisuri, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bermula secara rasmi hari ini dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada pukul 8 pagi.

Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.

Baginda kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.

Lagu Negaraku sekali lagi kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, bersama tembakan meriam sebanyak 14 das.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Ketua Pegawai Peperangan KD Sri Indera Sakti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Mohd Firdaus Arbaain bersama 68 pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan; Malaysia Madani, Rakyat Disantuni yang disampaikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Acara yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, kemudiannya dimeriahkan dengan pelbagai persembahan serta perarakan.

Sambutan kali ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias yang turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terdiri daripada Kontinjen Kenegaraan; Perarakan Rakyat; Ekonomi dan Swasta; Penyiaran dan Industri Kreatif; Sukan Negara; Aset Kenderaan Tempatan, Aset Kenderaan EV (Elektrik); Kesejahteraan serta Keselamatan Negara.

Perarakan itu turut disertai seramai 22 kakitangan Media Prima Berhad menerusi Kontinjen Penyiaran bersama agensi media lain.

Acara kemuncak yagn dinantikan pengunjung sudah tentunya menerusi persembahan udara dengan formasi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia membabitkan persembahan formasi aset udara termasuk pesawat tempur SU-30 MKM, Hawk, A400M dan helikopter.

Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut laungan “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” sebanyak tiga kali, bergema di Dataran Putrajaya.

Selain Perdana Menteri, dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, diplomat dan perwakilan asing serta dif kenamaan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN