DENGKIL: Kerajaan setakat ini telah membelanjakan lebih RM60 bilion bagi tujuan pemulihan, pencegahan dan rawatan penagihan dadah sejak masalah itu mula ditangani di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbelanjaan itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan beberapa pihak lain.
Beliau berkata, jumlah itu adalah sangat besar dan sekiranya digunakan untuk pembangunan, ia mampu membiayai pembinaan sekolah, hospital, selain membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meningkatkan aktiviti kesukanan serta rekreasi.
“Bagaimanapun, usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan terhadap penagih dadah tetap menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerja ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan keberkesanan pemulihan, termasuk melalui program seperti aktiviti pertanian dan latihan kemahiran di pusat rawatan penagihan ini.
Ahmad Zahid berkata, visi Kerajaan Madani jelas iaitu memastikan klien di PUSPEN dipulihkan, mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat sebagai insan produktif dan memutuskan rantai kemiskinan serta jenayah yang mengikat hidup mereka.
Dalam pada itu, katanya, beliau menghargai tugas seluruh warga kerja Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) khususnya di PUSPEN yang terlibat menjayakan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
“Anda semua bukan sekadar penjawat awam tetapi pembina kehidupan yang menyambut mereka yang sedang berada di titik terendah hidup mereka, menjadi obor membimbing mereka kembali kepada cahaya.
“Tidak ketinggalan, penghargaan kepada pengusaha Pusat Pemulihan Persendirian (PPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gigih di lapangan sama ada dalam merawat, memulih, atau mencegah.
“Usaha murni anda semua melengkapkan ekosistem pemulihan negara. Kerajaan bukan sahaja mengiktiraf, tetapi berdiri
bersama anda dalam perjuangan ini,” katanya. – UTUSAN