PETALING JAYA: Beberapa petunjuk positif ditemukan bagi mengesan suspek terlibat dengan kes serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, petunjuk berkenaan diperoleh hasil penelitian dan semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan terbabit.
“Terdapat petunjuk pada rakaman CCTV namun tidak diperoleh sepenuhnya pada waktu ini,” katanya di sini.
Terdahulu, Shazeli memaklumkan ugutan yang diterima isteri Rafizi melalui aplikasi WhatsApp adalah kali pertama.
Siasatan masih berjalan termasuk mengesan individu yang menghantar mesej ugutan itu.
Setakat ini keterangan sebanyak 14 individu telah kita ambil bagi siasatan lanjut.
Semalam, dua suspek yang dilaporkan melakukan serangan terhadap anak lelaki Rafizi sedang diburu.
Suspek setakat ini masih belum dikenal pasti namun siasatan terperinci sedang dilakukan.
Khamis lalu, Shazeli turut mengesahkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi menjejaki pemilik talian yang melakukan ugutan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, anak Rafizi berusia 12 tahun diserang dan disuntik jarum mengandungi cecair oleh dua lelaki yang menunggang motosikal di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya baru-baru ini. – UTUSAN










