BESUT: Inisiatif seorang tukang jahit menyediakan perkhidmatan menyewa pelbagai baju bertemakan kemerdekaan di Bandar Jerteh di sini, mendapat permintaan memberangsangkan terutama menerusi media sosial.
Zamzurina Abdul Kadir, 46, berkata, perkhidmatan itu disediakannya sejak tahun lalu dan menerima kira-kira 100 tempahan bagi sambutan bulan kemerdekaan.
“Di kedai, saya menyediakan kira-kira 200 set pakaian bertemakan kemerdekaan daripada pelbagai peringkat usia dan jantina. Kita mula menerima tempahan sejak Februari lalu dan ada dalam kalangan pelanggan yang ingin menyewa baju namun mengikut reka bentuk dan saiz badan mereka.
“Walaupun perlu membuat baharu, saya cuba memenuhi permintaan mereka,” katanya ketika ditemui di Jertih, semalam.
Menurut Zamzurina, semua jenis pakaian itu disewakan bermula RM50 sehingga RM200 mengikut set kelengkapan dan jenis diminta pelanggan.
Katanya, pelanggan lebih gemar menyewa busana ekoran harganya lebih murah berbanding dibeli dan ia hanya dipakai satu ada dua kali.
“Baju bertema kemerdekaan biasanya dibuat mengikut gabungan warna bendera Malaysia seperti biru, kuning, merah dan putih,” katanya. – UTUSAN










