KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kes pembuangan bayi direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, dengan kes tertinggi dilaporkan di Selangor.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, 10 kes direkodkan di Selangor, diikuti masing-masing dua kes di Sabah dan Pulau Pinang, manakala Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak masing-masing mencatat satu kes.
“Bagi tahun 2025, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah merekodkan sebanyak 72 kes pembuangan bayi. Manakala bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak 18 kes pembuangan bayi telah direkodkan.
“Daripada jumlah tersebut, 10 kes telah direkodkan di Selangor, dua kes masing-masing
direkodkan di Sabah dan Pulau Pinang manakala satu kes telah direkodkan masing-masing di Negeri Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.
“Sukacita dimaklumkan bahawa semua bayi bagi kes yang dikendalikan oleh JKM ini selamat.
“Aspek perlindungan setiap bayi yang ditemui atau diselamatkan akan diberikan perlindungan segera mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Akta 6111. Di bawah Seksyen 17 Akta 6111 bayi yang ditinggalkan atau dibuang boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan ,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta kerajaan menyatakan perincikan statistik kes keguguran dan pembuangan bayi mengikut negeri dan apakah tindakan Kerajaan dalam menangani isu ini.
“Dalam menangani isu pembuangan bayi, KPWKM menerusi agensi seliaan iaitu JKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai pendekatan yang merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan intervensi.
“Melalui JKM, KPWKM melaksanakan aspek pencegahan menerusi pelaksanaan program advokasi dan pendidikan masyarakat berkaitan tanggungjawab keibubapaan, institusi keluarga, perlindungan kanak-kanak serta kesedaran mengenai implikasi perundangan dan sosial akibat pembuangan bayi,” katanya.
Tambah Hui Ying, kerajaan tidak mempunyai jumlah klinik yang dikesan menjalankan perkhidmatan pengguguran secara haram tanpa kebenaran di seluruh negara.
“Bagi kes ini, seperti yang kita sedia maklum, perbuatan pengguguran adalah tidak dibenarkan daripada segi undang-undang.
“Pada masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai data berkenaan klinik swasta yang menjalankan aktiviti tersebut secara haram.
“Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang maklumat yang diterima daripada orang awam atau mana-mana pihak, KKM akan menjalankan siasatan sewajarnya dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN










