SEREMBAN: Perintah reman terhadap suspek yang bertindak menikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang di sini minggu lalu akan dilanjutkan tiga hari lagi sehingga 21 Ogos depan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, reman ke atas suspek lelaki berusia 31 tahun yang sepatutnya berakhir hari ini telah disambung sehingga Khamis ini.
“Suspek sebelum ini direman tujuh hari bermula 12 Ogos hingga 18 Ogos 2025 (hari ini). Namun, kami telah membuat permohonan sambung reman di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi bagi membolehkan siasatan diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata, kes itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya supaya dapat segera dituduh di mahkamah sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.
Pada 11 Ogos lalu, media melaporkan seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian di pekarangan rumah keluarganya di Taman Seri Pagi, Senawang di sini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
Pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang yang mana mangsa berusia 28 tahun telah ditikam oleh seorang suspek lelaki berusia 31 tahun.
Hasil siasatan polis mendapati mangsa mengenali isteri suspek dan mereka dikatakan mempunyai hubungan sulit. – UTUSAN










