KLUANG: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perdana maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah van di Jalan Cermai 17, Taman Suria, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.45 malam, melibatkan mangsa, Mohamad Zukriezwandie Mohammad Zukhairie, 15, yang menunggang motosikal jenis Honda ANF125MR milik bapanya, Mohammad Zukhairie Abdullah, dan sebuah van Toyota Hiace dipandu lelaki warga emas berusia 68 tahun.
Menurut beliau, mangsa dalam perjalanan dari arah Taman Seri Suria menghala ke Jalan Haji Manan, manakala van datang dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di lokasi, van tersebut secara tiba-tiba memasuki simpang di sebelah kiri jalan, menyebabkan mangsa gagal mengelak dan berlaku perlanggaran. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, pemandu van tidak mengalami kecederaan dan ditahan untuk ujian saringan air kencing. Keputusan ujian mendapati tiada pengaruh dadah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










