Suri rumah didenda RM4,000 sebar imej palsu kenaikan harga barang

Suri rumah didenda RM4,000 sebar imej palsu kenaikan harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi akaun Thread miliknya membabitkan imej palsu berkaitan kenaikan harga barang.

Tertuduh, Nur Nadia Ahmad Johari, 34, membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar didakwa memuat naik hantaran bersifat palsu menerusi aplikasi Thread menggunakan akaun ‘@nur_nadia’ pada 31 Mac lalu.

Tertuduh telah membuat perkongsian imej palsu yang memaparkan kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa pada 1 April 2026 yang didakwa dimuat naik oleh media berserta kenyataan bahawa harga akan naik sebanyak 200 peratus.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman
denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd. Zameri memohon hukuman setimpal.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengemukakan rayuan mitigasi secara bertulis kepada mahkamah dengan memohon hukuman diringankan atas alasan merupakan seorang suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak kecil serta tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Sementara itu, Hakim Ahmad Fuad menegaskan pindaan undang-undang berkenaan dibuat bagi memastikan masyarakat tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu kerana boleh mencetuskan kekecohan, huru-hara dan ketidaktentuan dalam kalangan masyarakat.

Tegasnya lagi, setiap individu bertanggungjawab menggunakan aplikasi media sosial secara berhemah serta tidak menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak benar sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Telitilah terlebih dahulu sama ada sesuatu maklumat itu benar atau tidak sebelum disebarkan. Setiap tindakan mempunyai akibatnya,” katanya.

Hakim kemudian, selepas mempertimbangkan rayuan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN