Pemaju disaran sedia lif di bangunan kedai tiga tingkat di Melaka

Pemaju disaran sedia lif di bangunan kedai tiga tingkat di Melaka

AB. Rauf Yusoh bersama wakil dari LPM dan Skywiz Realty Sdn. Bhd. selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan dasar menggalakkan pemaju menyediakan kemudahan lif bagi pembangunan bangunan kedai tiga hingga empat tingkat pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia bertujuan mewujudkan persekitaran lebih mesra pengguna, khususnya kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu obesiti berurusan di premis tersebut.

Menurutnya, pembangunan komersial tidak harus hanya memenuhi keperluan semasa, sebaliknya perlu dirancang mengikut keperluan masyarakat pada masa depan.

Beliau berkata, antara faktor yang perlu diberi perhatian adalah kecenderungan unit di tingkat atas bangunan kedai tiga hingga empat tingkat yang sukar dijual atau kurang mendapat sambutan kerana tiada kemudahan lif.

“Kita perlu fikir untuk masa depan. Orang membeli premis ketika berusia 30 tahun namun apabila umur mencecah 50 atau 60 tahun mereka mungkin tidak lagi mampu menggunakan tangga setiap hari.

“Sebab itu saya mencadangkan supaya bangunan kedai tiga hingga empat tingkat dilengkapi lif agar ia lebih mesra warga emas, OKU serta individu obesiti. Ini bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan.

“Kalau kita lihat kebanyakan bangunan kedai di Melaka, aktiviti perniagaan lebih tertumpu di tingkat bawah manakala unit di tingkat atas kurang dimanfaatkan. Antara puncanya ialah ketiadaan lif yang menyukarkan pengguna, terutama apabila usia semakin meningkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) di antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Skywiz Realty Sdn. Bhd. di Seri Negeri, di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, selain penyediaan lif, pemaju juga disaran mengambil kira reka bentuk kemudahan awam yang lebih inklusif termasuk penyediaan tandas duduk yang lebih banyak bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berusia.

“Kita perlu membina rumah dan kawasan komersial untuk generasi akan datang bukannya hanya berdasarkan gaya hidup masyarakat hari ini. Apabila pembangunan dirancang lebih awal, ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, LPM dan Skywiz Realty Sdn. Bhd. hari ini memeterai perjanjian pembangunan projek RMM di atas tanah seluas 26.64 hektar di Mukim Durian Tunggal daerah Alor Gajah.

Katanya, projek berkenaan melibatkan pembinaan sebanyak 903 unit kediaman dengan 453 unit atau 50 peratus daripadanya merupakan komponen rumah mampu milik manakala baki 450 unit adalah rumah pasaran terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN