SEREMBAN: Pusat pakar pergigian negeri pertama di negara ini siap menerusi penyerahan Projek Siap, Pembinaan Pusat Pakar Pergigian Seremban, Negeri Sembilan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pusat Pakar Pergigian Seremban kelak akan menjadi pusat rujukan utama bagi rawatan pergigian kompleks di Zon Tengah, merangkumi Negeri Sembilan, Putrajaya dan Melaka, dengan pendekatan rawatan pakar pelbagai disiplin.
“Skop projek ini merangkumi pembinaan bangunan pakar dengan 18 kerusi pergigian, termasuk lapan untuk pakar dan sepuluh untuk pegawai pergigian.
“Ia juga menyediakan perkhidmatan klinik pakar seperti Ortodontik, Periodontik, Pembedahan Restoratif, serta Kesihatan Pergigian Awam,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pusat Pakar Pergigian Seremban di sini hari ini.
Penyerahan disempurnakan Pengarah JKR Negeri Sembilan, Datuk Ir. Wan Hasnan Wan Musa kepada Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan KKM, Datin Paduka Roslinah Md Jani.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Projek Pusat Pakar Pergigian Seremban dibina atas tanah seluas dua ekar di Seremban dengan kos pembinaan RM32 juta. Pemilikan tapak dimulakan pada 30 Mac 2021 dan projek siap sepenuhnya pada 15 April 2025 dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).
“Projek pembinaan ini telah dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS) dengan memperolehi penilaian skor IBS melebihi 70 peratus,” kata Ahmad.
Sementara itu, katanya, pihak kementerian meneri JKR kini melaksanakan 167 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan jumlah kos RM18.05 bilion.
“Daripada jumlah itu, 60 projek berada di fasa prapembinaan 63 di fasa pembinaan dan 44 di fasa pascapembinaan. Di Negeri Sembilan, terdapat 13 projek keseluruhan: empat di fasa prapembinaan, tujuh dalam pembinaan dan dua pascapembinaan,” katanya
Sementara itu, Aminuddin menyifatkan pembinaan pusat ini sebagai satu peningkatan besar dalam aspek klinikal bagi penduduk negeri ini serta langkah penting ke arah kecemerlangan bidang pergigian.
Dengan pertambahan saiz fasiliti dan bilangan kerusi pergigian di Pusat Pakar Pergigian Seremban kapasiti pesakit harian dapat ditingkatkan dari 80 orang sehari kepada 150 orang sehari. – UTUSAN










