KUALA LUMPUR: MCA tetap membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) meskipun parti itu berada dalam blok kerajaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau tidak akan terpengaruh, malah tetap mempertahankan hak rakyat dan memastikan kepentingan pemilik hartanah meskipun ada pihak yang tidak sependapat.
Tegasnya, MCA akan terus berdiri teguh bersama rakyat, terutamanya dalam hal yang melibatkan hak pemilikan tanah dan isu pembangunan semula bandar yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan penduduk tempatan.
“Orang Melayu kalau sokong RUU ini memang satu dosa besar.
“Saya tidak kisah dengan cemuhan atau kritikan daripada mana-mana pihak, termasuk DAP. Apa yang lebih penting bagi saya adalah memastikan suara rakyat didengar dan hak mereka terbela.” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau turut meluahkan kekecewaannya terhadap pendekatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menolak sebarang bentuk kerjasama dalam menangani isu pembaharuan bandar ini.
“Walaupun DAP tidak mahu bekerjasama, saya akan terus memperjuangkan apa yang terbaik untuk rakyat, kerana ini bukan soal politik, tetapi soal kesejahteraan hidup penduduk bandar yang terjejas dengan cadangan dalam rang undang-undang ini,” katanya.
Malah beliau juga mendakwa, DAP tidak menggunakan peluang libat urus bersama parti komponen untuk mendapat keputusan yang adil. – UTUSAN










