KOTA KINABALU: Prosiding untuk mendengar inkues bagi kes kematian arwah Zara Qairina Mahathir akan berjalan selama 19 hari bermula bulan depan.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bersidang sebagai koroner di Mahkamah Koroner sini pada Isnin, telah menetapkan September 3-4, 8-12, 17-19 dan 22-30 sebagai tarikh prosiding tersebut.
Difahamkan inkues tersebut bertujuan menyiasat punca kematian arwah Zara serta menentukan jika terdapat unsur jenayah yang terlibat.
Peguam keluarga Hamid Ismail berkata, lebih kurang 195 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi angka tersebut mungkin dikurangkan untuk prosiding.
Antara pegawai pengendali inkues berkenaan ialah Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd. Fairus Johari, Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.
Manakala, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin akan menjadi pemerhati pada sebutan inkues berkenaan.
Wartawan dilihat berkumpul di kawasan mahkamah seawal lapan pagi untuk menanti keputusan tarikh bagi mendengar inkues tersebut.
Orang ramai turut hadir di kawasan bangunan mahkamah untuk memberi sokongan dengan pihak polis menjaga ketat bagi pastikan kawalan keselamatan.
Jabatan Peguam Negara pada minggu lalu telah mengarahkan untuk inkues diadakan berhubung kematian Allayarhamah Zara.
Inkues akan dijalankan di bawah Subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). – UTUSAN










