KUALA LUMPUR: Program Tabika Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyasarkan melahirkan lebih 140,000 huffaz cilik menjelang tahun 2026 menerusi peluasan program itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha melahirkan generasi unggul perlu bermula dari akar iaitu ketika usia masih kecil bagi memastikan anak-anak membesar dengan bekalan ilmu, iman dan adab yang kukuh.
“Sasaran ini adalah sebahagian daripada ekosistem pendidikan berteraskan nilai agama yang sedang diperkukuh oleh kerajaan.
“Program Pra Tahfiz yang bermula dengan hanya 100 tadika, kini telah berkembang lebih 8,167 tadika di seluruh negara melibatkan lebih 121,000 murid-murid.
“Menjelang tahun hadapan, kami sasarkan seramai 140,000 huffaz cilik yang akan membesar dengan hati yang dipenuhi kalimah Allah, menjadi benteng kepada keruntuhan nilai dan menjadi pewaris tamadun berasaskan wahyu,” katanya berucap pada Program World Quran Symposium Tahun 2025 di Dewan Merdeka WTCKL di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Imam Masjid Al-Nabawi Madinah, Shaikh Dr. Salah Muhammad Al-Budair.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kementerian melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut mengangkat usaha sama apabila membawa pendekatan sama di 57 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
“Hasilnya, Alhamdulillah, MRSM kini mengungguli ranking antara sekolah terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut meluahkan impian besar untuk melihat para huffaz bukan sekadar membaca al-Quran di mimbar, malah memimpin negara sebagai pemikir, pendamai dan mujaddid moden yang membina sistem kehidupan berasaskan Islam.
Katanya, jika ekosistem sedia ada terus diperkasa, diperkemas dan diselaraskan dengan sokongan menyeluruh, Malaysia mampu melahirkan anak bangsa yang bukan sahaja tinggi ilmunya tetapi juga kaya dengan roh dan adab.
Mengulas penganjuran World Quran Symposium, beliau berkata, ia bukan sekadar medan ilmiah tetapi langkah strategik memperkukuh posisi Malaysia sebagai peneraju wacana Islam global.
“Malaysia kini sedang tampil sebagai jambatan yang menyatukan warisan keilmuan dan inovasi masa kini sebagai pusat dialog Islam kontemporari yang berwibawa dan sebagai suara sederhana di tengah kekeliruan dunia moden.
“Kehadiran para ulama dan ilmuwan dari pelbagai penjuru dunia ke negara ini adalah bukti bahawa Malaysia bukan sahaja sebahagian daripada peta tamadun Islam, tetapi sedang memimpin hala tuju masa depannya.
“Oleh itu, saya menyeru agar simposium ini tidak berakhir di atas pentas dan atas kertas, sebaliknya menjadi titik tolak kepada satu gerakan pemikiran Qurani yang menyeluruh serta pemangkin dasar negara,” katanya. – UTUSAN










