PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik hasrat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bagi menjayakan program pendidikan antirasuah melibatkan pegawai dan pelajar Malaysia di Indonesia.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, SPRM akan memberikan komitmen jitu bagi menjayakan program anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.
Beliau berkata, antara program dirancang seperti Ceramah lntegriti dan lkrar Bebas Rasuah (lBR) serta Seminar lntegriti Pengurusan Dana Awam Dalam Pengurusan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di lndonesia (PKPMI) bersempena Hari lntegriti Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Tahun 2025 yang akan diadakan pada September ini.
“Pertemuan ini merupakan platform terbaik kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan merupakan maklum balas kepada permohonan program oleh Menteri Kedutaan (Pendidikan), Education Malaysia Indonesia (EMI), Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin di Jakarta semalam.
Syed Mohamad berkata, pihaknya komited untuk memupuk budaya kerja berintegriti, telus dan bertanggungjawab dalam kalangan pegawai dan warga agensi kerajaan Malaysia yang beroperasi di bawah naungan kedutaan.
Beliau berkata, penganjuran Hari lntegriti Tahun 2025 adalah sejajar dengan aspirasi nasional serta Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menekankan keperluan pembudayaan integriti di setiap lapisan pentadbiran awam termasuk di luar negara serta persatuan pelajar Malaysia di luar negara. – UTUSAN










