Pahang lambang kejayaan terbesar Felda, suatu realiti bukan fantasi - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Pahang lambang kejayaan terbesar Felda, suatu realiti bukan fantasi – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai lambang kejayaan terbesar Felda apabila lebih 43,000 keluarga peneroka yang berasal dari seluruh pelosok tanah air berjaya membina kehidupan baharu menerusi pembukaan 115 tanah rancangan seluas 203,012 hektar di negeri itu sepanjang tujuh dekad penubuhan agensi berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu bukan sekadar fakta atau angka di atas kertas, malah menjadi bukti nyata keberkesanan agenda pembangunan luar bandar negara yang berjaya mengubah kehidupan ratusan ribu keluarga daripada kemiskinan kepada kemakmuran.

“Pahang merupakan negeri yang paling sinonim dengan Felda kerana mempunyai tiga wilayah iaitu Wilayah Jengka, Wilayah Kuantan dan Wilayah Mempaga yang merangkumi 115 tanah rancangan melibatkan 43,126 keluarga peneroka.

“Kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi denyut nadi pembangunan negeri kerana kemajuan Felda turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan menyeluruh Pahang,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan Ulang Tahun Ke-70 Felda yang disempurnakan Perdana Menteri di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri komited memperkukuh agenda pembangunan warga Felda menerusi penubuhan Sekretariat Muafakat Felda Pahang dengan peruntukan RM5 juta bagi menyelaras aspek pendidikan, ekonomi, kebajikan, belia dan pembangunan komuniti.

Selain itu, katanya, sebanyak 16,035 lot disediakan menerusi Skim Tanah Rakyat Felda Pahang bagi membolehkan generasi baharu memiliki kediaman sendiri.

“Kerajaan Negeri juga sudah berjaya menyelesaikan 99.5 peratus urusan pemilikan tanah peneroka apabila seramai 42,894 peneroka menerima geran hak milik, manakala baki akan diselesaikan tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri terus memacu pertumbuhan ekonomi Pahang apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM68.7 bilion pada 2024 kepada RM71 bilion pada tahun lalu.

Beliau berkata, kestabilan politik dan pentadbiran menjadi asas kepada kemakmuran negeri yang membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan, pendidikan, kemudahan kesihatan dan bantuan disalurkan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau turut memohon pertimbangan Perdana Menteri supaya seorang wakil Kerajaan Negeri Pahang dilantik menganggotai Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad memandangkan kerajaan negeri merupakan antara pemegang saham syarikat itu.

Menurut beliau, penyertaan wakil kerajaan negeri akan memperkukuh penyelarasan dasar, mempererat kerjasama strategik serta memastikan kepentingan peneroka dan pembangunan negeri terus diberikan perhatian secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN