SEREMBAN: Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program Madani Rakyat Negeri Sembilan yang berlangsung di Dataran Nilai di sini dibanjiri orang ramai yang ingin mendapatkan topi keledar secara percuma.
Penolong Pengarah Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Sembilan, Zaitun Iffah Hamid, berkata,
sebanyak 3,000 topi keledar telah disediakan sepanjang tiga hari penganjuran program berkenaan yang berakhir esok.
“Sehari kami hadkan kepada 1,000 unit sahaja. Pagi kami agihkan sebanyak 500 unit manakala di sebelah petang lagi 500 unit.
“JPJ tidak meletakkan syarat yang ketat sebaliknya seseorang itu hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan warganegara dan membawa topi keledar lama untuk diganti dengan baharu,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, selain pemberian topi keledar secara percuma, JPJ dibawah Kementerian Pengangkutan itu turut menyediakan perkhidmatan lain termasuk pertukaran minyak pelincir bagi motosikal.
” Sebanyak 700 botol minyak hitam diperuntukkan hasil sumbangan daripada lima syarikat swasta sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat”katanya.
Menurut beliau, perkhidmatan itu disediakan bagi motosikal di bawah 250cc, dengan anggaran satu hingga dua botol bagi setiap motosikal, bergantung kepada spesifikasi enjin.
“Pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong dan Giat MARA turut terlibat secara langsung dalam aspek teknikal, termasuk penukaran minyak hitam dan pemeriksaan motosikal, memanfaatkan kemahiran mereka dalam bidang automotif,”katanya.
Program Madani Rakyat Negeri Sembilan bermula semalam dengan pelbagai pengisian menarik bertemakan pendigitalan dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi kerajaan.-UTUSAN










